KUALA LUMPUR: Selepas lebih sedekad menjadi buruan, seorang pekerja aksesori kereta akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengawal kelab malam dalam kejadian berdarah pada tahun 2013.
Tertuduh, Ooi Chin Leng, 38, hanya menjawab “faham” selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Ooi bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Fouzi Hussen, 24, di Taman Desa Murni, Sungai Dua, pada jam 5.25 pagi, 24 Januari 2013.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun, serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu bagi mendapatkan laporan profil DNA tertuduh memandangkan kes ini merupakan kes lama dan tertuduh baru ditahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes, termasuk penyerahan laporan DNA.
Tertuduh juga tidak dibenarkan diikat jamin.
Kejadian yang berlaku 12 tahun lalu itu pernah menggemparkan Pulau Pinang apabila media melaporkan seorang pengawal kelab malam maut ditembak dalam satu pergaduhan di premis perniagaan di Sungai Dua.
Ketika itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, mendedahkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perbincangan berkaitan perniagaan yang bertukar menjadi pergaduhan selepas gagal mencapai kata sepakat.
“Mangsa dan suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol. Polis juga menemui beberapa botol arak dan kelongsong peluru di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada 2013.
Suspek utama dalam kes tersebut dipercayai perancang utama insiden tembakan dan berjaya mengelak daripada ditahan selama lebih satu dekad sebelum berjaya diberkas baru-baru ini.