“Saya Tidak Ada Anak Bernama Itu” – Exco Sabah Nafi Anak Terbabit Kes Zara Qairina

BANGI: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya anak beliau terbabit dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, baru-baru ini.

Penafian itu dibuat susulan tular di media sosial dakwaan yang mengaitkan seorang pelajar bernama Farisha, didakwa anak beliau, dengan insiden tragis tersebut.

“Saya tidak mempunyai anak bernama sedemikian, apatah lagi yang bersekolah di situ,” tegasnya ketika ditemui pada Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) di Pusat Konvensyen Bangi Avenue, hari ini.

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, keesokan harinya.

Kes berkenaan mencetuskan perhatian meluas apabila wujud dakwaan ia melibatkan unsur buli serta mengaitkan beberapa anak VIP dan individu berpengaruh.

Mohd Arifin menjelaskan, ketika Zara Qairina dirawat di hospital, beliau bersama Ketua Pengarah Pendidikan hadir menziarahi ibu mangsa.

Empat hari selepas pelajar itu meninggal dunia, beliau sekali lagi menziarahi keluarga Allahyarhamah di Sipitang bersama rombongan Yayasan Sabah dan wakil rakyat Sindumin, menyampaikan salam takziah daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kita tunggu hasil siasatan polis. Tiada kompromi kepada mana-mana pihak yang terlibat. Siasatan terbuka mesti dijalankan demi keadilan untuk pelajar ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles