“Saya Pelawak, Tapi PKR Rumah Perjuangan Saya”

KUALA LUMPUR: Dalam suasana politik yang dicemari permusuhan peribadi dan serangan perkauman, Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki tampil membawa naratif berbeza iaitu politik berjiwa besar.

Ketika mewakili Wilayah Persekutuan dalam sesi perbahasan Kongres Nasional Keadilan 2025, Afdlin menegaskan bahawa persaingan dalam parti tidak harus menjadi medan permusuhan, malah menyeru perpaduan dan saling menghormati demi perjuangan yang lebih besar.

“Saya ingin menyampaikan secara terbuka kepada YB Nik Nazmi… I am at your service. Bila-bila masa saya sedia bantu. Ini bukan soal siapa menang atau kalah. Ini soal Keadilan,” ujar Afdlin, disambut tepukan gemuruh para perwakilan di Persada International Convention Centre.

Walaupun menewaskan penyandang jawatan, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Afdlin menzahirkan rasa hormatnya dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat dan parti.

Afdlin, yang dikenali sebagai pelawak, pengarah dan penggiat seni, turut memuji keterbukaan PKR sebagai parti inklusif yang memberi ruang kepada pelbagai latar belakang masyarakat.

“Kalau seorang pelawak macam saya boleh sertai parti ini dan diberi kepercayaan, itu bukti PKR milik semua — dari pemandu Grab, penjaga kereta sampai penggiat seni,” katanya lagi.

Lebih jauh, Afdlin menyentuh mengenai perubahan budaya politik yang sedang diusahakan PKR tidak lagi melihat lawan sebagai musuh, tetapi sebagai rakan yang membawa perspektif berbeza.

“Saya belajar dari parti ini bahawa tidak semua yang hitam itu benar-benar hitam, dan yang putih tidak semestinya putih. Politik bukan tentang hitam-putih semata, tapi tentang keberanian untuk berubah,” jelas beliau.

BBerkaitan

Latest articles