SAPURA : Saya Terpaksa Berdiam Diri Demi Elak Konflik Dengan Abang Sendiri – Shariman

KUALA LUMPUR, Pengarah Sapura Holdings Sdn Bhd, Datuk Shahriman Shamsuddin, mengakui di mahkamah bahawa beliau memilih untuk berdiam diri dalam isu berkaitan inisiatif korporat syarikat kerana enggan mencetuskan konflik dengan abangnya, Tan Sri Shahril Shamsuddin, yang juga pemegang saham utama.

Pengakuan itu dibuat ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, dalam petisyen pembubaran syarikat berikutan dakwaan keretakan hubungan di antara dua beradik tersebut.

Ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Shahril, S. Rabindra, Shahriman mengakui tidak membangkitkan sebarang persoalan ketika pertukaran surat yang melibatkan Sapura Resources, sama ada cadangan pembangunan itu merupakan inisiatif peribadi Shahril atau keputusan rasmi syarikat.

“Saya tidak bangkitkan kerana saya akan bercanggah dengan abang saya. Saya adiknya dan juga pemegang saham Holdings. Jadi saya terpaksa berdiam diri,” jawab Shahriman ketika disoal peguam.

Rabindra kemudian mempersoalkan mengapa Shahriman tidak menggunakan kapasiti beliau sebagai ahli lembaga pengarah Sapura Resources untuk menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan-cadangan peribadi yang mungkin menjejaskan syarikat.

Walaupun Shahriman mengakui pernah tidak bersetuju dengan abangnya dalam mesyuarat lembaga terdahulu, beliau tetap memilih untuk tidak menjawab apabila dituduh “memilih untuk tidak bersuara” walaupun berpeluang.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Leong Wai Hong.

Semalam, media melaporkan bahawa Shahriman dalam keterangannya mempersoalkan tindakan syarikat menggunakan hartanah sebagai cagaran untuk pembangunan menara pejabat utama kumpulan, Permata Sapura, yang merupakan sebahagian daripada Projek Apex — usaha sama Sapura Resources Bhd dan KLCC Holdings Sdn Bhd bagi membangunkan menara 52 tingkat di pusat bandar Kuala Lumpur.

Shahriman menyifatkan hubungan tegang dengan abangnya bertambah buruk susulan perbezaan pendapat dalam mesyuarat lembaga khas Sapura Resources pada 31 Januari 2023.

BBerkaitan

Latest articles