ALOR GAJAH: Seorang sami dihadapkan ke
Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun bulan lalu.
Tertuduh, P. Deva, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.
Malaysia Gazette melaporkan mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa telah melakukan amang seksual dengan cara membuatkan kanak-kanak lelaki berkenaan berusia 12 tahun 10 bulan semasa kejadian menghisap kemaluan tertuduh bagi maksud seksual.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik tidur sebuah rumah beralamat di Taman Melaka Perdana, dalam daerah Alor Gajah pukul 3 hingga 4 petang, 4 Julai lalu.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan RM30,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak menggangu mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Peguam, Datuk P Aravindhakshan bagaimanapun merayu anak guamnya dikenakan ikat jamin rendah kerana tertuduh merupakan seorang sami yang mengajar kanak-kanak sembahyang di kuil India.
Ahli keluarga tertuduh juga hujahnya berasal daripada keluarga miskin yang tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada upah setiap pekerjaan dilakukan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 serta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula 8 September ini untuk serahan dokumen.