‘Salah Tetap Salah’ – Dr Akmal Mahu Ahli UMNO Disiasat Kes Jalur Gemilang Silap

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan tidak ada sesiapa pun terkecuali daripada tindakan undang-undang jika melakukan kesilapan terhadap lambang negara, termasuk ahli partinya sendiri.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi video di Facebook, Dr Akmal menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan keras terhadap individu yang membuat grafik Jalur Gemilang dengan hanya 12 jalur, berbanding 14 jalur seperti sepatutnya, yang dimuat naik di laman sosial Pemuda UMNO Terengganu.

“Tak kisah siapa kamu, bangsa, fahaman politik apa sekali pun. Walaupun ‘geng’ saya… salah tetap salah. Ini bukan soal politik, ini soal hormat lambang negara,” tegasnya.

Dr Akmal mengakui kesilapan itu berpunca daripada individu yang mereka poster tersebut dan meminta Pemuda UMNO Terengganu memohon maaf kepada rakyat.

Kontroversi ini tercetus selepas grafik itu digunakan untuk mengecam insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang, selain menuntut pembelaan terhadap kematian pelajar Sabah, Zara Qairina Mahathir.

Kesilapan jumlah jalur itu pantas dikesan pengguna media sosial sebelum dipadam dan diganti dengan versi baharu pada jam 12.55 tengah hari.

Dalam masa sama, Dr Akmal mengumumkan ‘kelas’ memasang bendera di kedai perkakasan terbabit dibatalkan, namun beliau tetap akan hadir ke sana Khamis ini untuk “memeriksa” bendera gergasi tajaan DAP.

“Kita nak tengok sama ada Loke Siew Fook pasang bendera dengan betul atau tidak,” katanya sambil mengalu-alukan kehadiran ahli DAP di lokasi tersebut.

BBerkaitan

Latest articles