MELAKA: Seorang peniaga lori air batu direman sehari selepas disyaki memukul dan mengugut untuk menikam anak tirinya yang berusia 15 tahun dalam kejadian di Taman Desa Bertam, semalam.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret N Sivashangari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 pagi selepas suspek dikatakan berang apabila mengetahui anak tirinya itu kecewa dengan perkahwinannya bersama ibu mangsa, empat tahun lalu.
“Rasa tidak puas hati mangsa telah didengar oleh abang ipar ibu remaja tersebut, sebelum disampaikan kepada suspek. Suspek kemudian bertindak memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian kepala dan badan,” katanya.
Ibunya yang juga pengadu dalam kes tersebut cuba meleraikan pertengkaran, namun remaja itu melarikan diri ke dapur.
Suspek yang bertambah marah kemudian mengejar dan didakwa mengambil sebilah pisau pemotong sayur.
“Wanita itu menjerit meminta anaknya melarikan diri apabila melihat suaminya mengambil pisau. Suspek sempat meletakkan senjata itu di atas meja sebelum terus mengejar mangsa hingga ke luar rumah,” ujar sumber.
Situasi tegang itu berakhir apabila abang ipar pengadu meminta mangsa masuk semula ke dalam rumah untuk menjelaskan perkara sebenar kepada suspek.
Suspek kemudiannya memberi amaran kepada isterinya supaya menasihati anaknya dan mengugut akan menikam remaja itu jika kejadian serupa berulang.
Ibu mangsa yang bimbang keselamatan anaknya membuat laporan polis pada tengah hari yang sama.
Suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), IPK Melaka.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif dadah.