Razarudin Tamat Kontrak KPN Pada 22 Jun

KUALA LUMPUR: Kontrak Tan Sri Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-14 akan tamat secara rasmi pada 22 Jun ini, sekali gus menamatkan tempoh dua tahun perkhidmatannya dalam jawatan tertinggi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara itu disahkan sendiri oleh Razarudin, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Sumber sebelum ini memaklumkan bahawa majlis serah terima tugas dan paluan berundur akan diadakan pada Jumaat depan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, sebagai simbolik kepada tamatnya tempoh perkhidmatan beliau.

Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023, menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang bersara wajib.

Pelantikannya dibuat secara kontrak selama dua tahun, selaras dengan keputusan kerajaan ketika itu.

Anak kelahiran Dengkil, Selangor ini memulakan karier dalam PDRM pada 1984 sebagai pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah.

Beliau kemudiannya memegang pelbagai jawatan strategik, termasuk Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman, Timbalan Komander Special Task Force on Organised Crime (STAFOC), Ketua JSJ Pulau Pinang dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Beliau turut pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Perak sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Perak.

Razarudin memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pada tahun 2021, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, dan akhirnya menyandang jawatan Ketua Polis Negara pada tahun berikutnya.

BBerkaitan

Latest articles