PUTRAJAYA: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali gagal dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Rayuan hari ini dan kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz sebulat suara menolak rayuan itu selepas berpuas hati tiada kekhilafan fakta atau undang-undang dalam keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, yang mengekalkan penghakiman Mahkamah Sesyen.
“Perayu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Sabitan dan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan dikekalkan,” kata Azman ketika membaca keputusan mahkamah.
Kesalahan itu dilakukan antara Februari hingga Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju ketika mangsa berusia 13 tahun.
Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun, selain memerintahkan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 serta khidmat masyarakat selama 200 jam, yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Siti Bainun yang kini berada di Penjara Kajang sejak dua tahun lalu pernah memohon penangguhan pelaksanaan hukuman, namun permohonan itu ditolak.
Rayuan di Mahkamah Tinggi pada 2 Mei lalu juga gagal sebelum beliau membawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan.