GERIK: Cubaan menyeludup dadah bernilai RM4.7 juta gagal apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran loji rawatan air Taman Pulai Savana, Jumaat lalu.
Lebih mengejutkan, kenderaan itu bukan sahaja ditinggalkan dalam keadaan masih panas, tetapi juga dipenuhi dadah pelbagai jenis seberat 123.1 kilogram, dipercayai untuk pasaran di negeri-negeri sempadan.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Noor Hisam Nordin, berkata rampasan dilakukan selepas maklumat orang awam membawa pasukan MPV dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gerik ke lokasi.
“Kenderaan itu berkunci, tiada individu berhampiran. Pemeriksaan ke atas but menemui 80 bungkusan methamphetamine seberat 82.8kg dan 39 bungkusan ketamin seberat 40.36kg,” katanya dalam sidang media di IPK Perak hari ini.
Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah itu mencecah RM4.67 juta, yang mana cukup untuk bekalan seramai 350,000 penagih.
Siasatan lanjut mendapati kenderaan terbabit adalah kereta klon, berdasarkan semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mendedahkan nombor casis telah dipotong dan nombor enjin diubah suai.
“Rekod pemilik asal menunjukkan kenderaan itu milik seorang jururawat di Serdang, namun ia jelas telah digunakan untuk kegiatan haram,” tambah Noor Hisam.
Dadah dipercayai dibawa masuk melalui sempadan utara dan dirancang untuk diedarkan di sekitar Perak, Kedah, Kelantan dan kawasan sempadan.
Polis kini sedang giat mengesan suspek yang meninggalkan kenderaan berkenaan hanya 30 minit sebelum pasukan polis tiba, berdasarkan keadaan enjin yang masih panas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu terlibat agar tampil membantu siasatan.
“Kita percaya lebih ramai suspek terlibat dalam sindiket ini dan akan terus buru dalang di sebalik operasi dadah bernilai jutaan ringgit ini,” tegas Noor Hisam.