Ramasamy Didakwa 17 Pertuduhan Salah Guna Kuasa, Libatkan Hampir RM860,000

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P. Ramasamy, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah atas 17 pertuduhan salah guna kuasa yang melibatkan jumlah keseluruhan hampir RM860,000.

Tertuduh, 76, yang juga bekas Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Daripada 17 pertuduhan tersebut, 13 daripadanya berkait dengan dakwaan pecah amanah jenayah apabila beliau didakwa menyalahgunakan dana LWHNPP tanpa kelulusan lembaga untuk membeli pedati emas bernilai RM779,131.29, menerusi 13 cek dan pindahan telegraf.

Selain itu, dua pertuduhan melibatkan bayaran perbelanjaan perubatan sebanyak RM50,000 dan RM15,000, manakala dua lagi pertuduhan berkaitan bantuan kewangan pendidikan bernilai RM10,000 dan RM5,000.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan antara 2 Mei 2019 hingga 18 April 2023 di dua lokasi perbankan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Perangin Mall, George Town.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan serta denda, jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar mengendalikan kes, manakala Ramasamy diwakili barisan peguam Shamser Singh Thind, Eng Yuh Pei dan Archana Chandrasekaran.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM78,000 dengan syarat tambahan, termasuk penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 16 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan pihak pembelaan dan pendakwaan membuat persiapan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles