KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan sebagai tokoh reformis yang berani menegakkan kebenaran dan tidak gentar mencabar kuasa, kata Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Dalam kenyataan menyusuli pengumuman peletakan jawatan Rafizi sebagai Menteri Ekonomi yang akan berkuat kuasa 17 Jun ini, Nurul Izzah menyatakan penghormatan tinggi terhadap sumbangan idea dan dasar Rafizi yang menurutnya telah mengubah landskap wacana negara, khususnya dalam isu tadbir urus, ketelusan dan keadilan ekonomi.
“Saudara Rafizi tidak pernah gentar berhadapan dengan kuasa, dan tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran. Beliau telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana kita,” katanya sambil turut berkongsi foto kenangan bersama Rafizi yang diambil beberapa tahun lalu.
Menurut Nurul Izzah, idea-idea yang diperkenalkan Rafizi bukan sekadar legasi politik tetapi merupakan penyelesaian terbaik untuk negara dan akan terus diperhalusi walaupun beliau tidak lagi berada dalam kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan komitmen untuk memperkukuhkan etika dan kepimpinan parti dengan memperkenalkan latihan integriti wajib kepada semua pemimpin PKR di semua peringkat.
“Latihan ini akan merangkumi topik seperti pengubahan wang haram (AMLA), rasuah dan pematuhan cukai. Ini adalah langkah penting untuk mencegah politik wang dan memastikan setiap pemimpin memahami tanggungjawab serta menjaga integriti,” katanya.
Nurul Izzah turut menekankan bahawa tadbir urus yang baik perlu berteraskan prinsip dan ilmu yang kukuh, dan pemimpin harus menjadi contoh kepada perubahan yang ingin dilihat dalam masyarakat.