KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan kritikan UMNO terhadap tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR sebagai “munasabah dan wajar dipertimbangkan” oleh Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, isu lompat parti yang melibatkan menteri kanan itu membuka ruang yang perlu ditangani dengan lebih teliti oleh gabungan kerajaan sedia ada.
“Kritikan itu bukan tentang individu, tapi tentang mekanisme. Ia soal bagaimana perpindahan ahli dari parti komponen ke parti lain dalam Kerajaan Perpaduan ditangani. Isu ini tak pernah dimuktamadkan dalam perjanjian awal,” katanya kepada media ketika ditemui di Karnival Belia Madani 2.0 Parlimen Pandan, semalam.
Rafizi turut mendedahkan bahawa beliau sendiri yang merangka draf awal perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan, namun pengambilan ahli antara parti tidak dinyatakan secara spesifik, menyebabkan wujud “kekosongan” atau grey area dalam perjanjian itu.
Mengulas lanjut mengenai hasrat Tengku Zafrul menyertai PKR, Rafizi enggan mengulas secara mendalam dan menyarankan agar soalan itu ditujukan terus kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tersebut.
“Soalan tentang hala tuju Tengku Zafrul patut tanya dia sendiri. Dia di Mekah, tapi ada WhatsApp,” katanya berseloroh.
Tegas Rafizi, beliau hanya memimpin cabang PKR di Pandan dan tidak wajar menjadi jurucakap bagi keputusan-keputusan parti di peringkat nasional.
“Kalau nak tanya tentang hala tuju PKR, kena tanya pimpinan pusat. Tak adil kalau hanya saya yang diminta komen, sedangkan ada 220 ketua cabang,” ujarnya.
Tengku Zafrul dalam satu hantaran Facebook Jumaat lalu mengumumkan keluar UMNO serta melepaskan semua jawatan dalam parti itu, termasuk sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.
Beliau turut menyatakan hasrat menyertai PKR, namun setakat ini PKR mengesahkan belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada beliau.