Rafizi Adakan Sidang Media Esok Bersama MP PKR, Spekulasi Keluar Parti?

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan akan mengadakan satu sidang media penting bersama beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi esok, tanpa mendedahkan agenda sebenar.

Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan perkara tersebut menerusi hantaran di media sosialnya hari ini, dengan menyatakan sidang media itu akan berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang pada jam 9 pagi dan turut disiarkan secara langsung di platform digital beliau.

Bagaimanapun makluman sidang media Rafizi itu ringkas tanpa butiran lanjut, sekaligus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik dan penyokong PKR sendiri.

Ramai mula membuat andaian sama ada bekas Menteri Ekonomi itu akan mengumumkan pengunduran daripada PKR, susulan bayangan yang pernah beliau lontarkan sebelum ini.

Untuk rekod, Jumaat lalu dalam podcast Yang Berhenti Menteri, Rafizi secara terbuka menyatakan hasrat untuk tidak lagi bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan mungkin meninggalkan PKR selepas tamat penggal Parlimen ini.

Beliau turut menyentuh rasa kecewa dengan ‘budaya’ politik yang menurutnya semakin ketara dalam parti tersebut, khususnya selepas pemilihan PKR pada Mei lalu.

BBerkaitan

Latest articles