KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa para pustakawan di seluruh rantau Asia Tenggara untuk mengubah pendekatan tradisional mereka dan memikul peranan lebih proaktif dalam memupuk budaya membaca yang segar dan relevan, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Berucap ketika merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini, beliau menegaskan bahawa perpustakaan masa kini tidak boleh hanya berfungsi sebagai tempat menyimpan buku atau sekadar ruang estetik semata-mata.
“Peranan pustakawan bukan lagi sekadar menyusun dan mempamerkan buku di almari kaca. Mereka mesti menjadikan perpustakaan sebagai pusat ilmu, budaya dan wacana intelektual yang aktif dan hidup,” kata Anwar di hadapan lebih 1,000 peserta dari rantau Asia Tenggara.
Anwar turut menekankan bahawa pustakawan wajar berfungsi sebagai pembimbing intelektual yang memperkenalkan bahan bacaan yang menarik serta menginspirasi minat membaca dalam kalangan masyarakat.
“Mereka harus tampil sebagai pemangkin minda masyarakat, memperkenal, menggalak dan membimbing pembaca agar menjadikan pembacaan sebagai budaya, bukan sekadar aktiviti sementara,” ujarnya.
Dalam era digital, katanya, pustakawan juga perlu memanfaatkan teknologi dan peralatan digital bagi memperluaskan capaian perpustakaan kepada khalayak yang lebih besar.
Langkah ini penting untuk memastikan institusi perpustakaan kekal relevan dan inklusif dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Persidangan CONSAL XIX yang menghimpunkan pustakawan, pemimpin institusi dan penyelidik dari pelbagai negara ASEAN dilihat sebagai platform penting untuk membincangkan inovasi, cabaran dan hala tuju masa depan perpustakaan di rantau ini.
Perdana Menteri turut menyatakan komitmen kerajaan untuk memperkukuh peranan perpustakaan sebagai hab komuniti, penyebar ilmu dan alat pembentuk masyarakat celik maklumat.
“Kita perlukan perpustakaan yang hidup, yang menjadi tempat berhimpunnya idea dan inspirasi bukan hanya rak senyap dan buku berhabuk,” tegas Anwar.
Persidangan tiga hari ini dijangka merumuskan beberapa inisiatif serantau untuk memperkukuh kerjasama pustakawan ASEAN dan menjadikan perpustakaan sebagai institusi penting dalam pembangunan modal insan dan masyarakat berpengetahuan.