MELAKA: Hasrat seorang ibu untuk membawa anak bongsunya mendapatkan suntikan tiga bulan bertukar menjadi tragedi apabila dia menemui suami dan bayi lelaki mereka tidak sedarkan diri di dalam bilik tidur.
Azura Abdul Malik, 37, berkata insiden menyayat hati itu berlaku kira-kira 9.30 pagi ketika dia pulang sebentar ke rumah dari tempat kerja untuk membawa anak ketiganya, Nur Daniel, mendapatkan suntikan imunisasi.
“Saya sangat terkejut bila dapati suami tidak sedarkan diri dan anak kami berada di bawah lengannya. Tak ada kesan darah atau luka. Saya terus hubungi hospital… dan suami disahkan telah meninggal dunia di rumah,” katanya dalam nada sebak.
Ketika itu, bayinya masih bernyawa tetapi dalam keadaan sangat lemah.
Azura dan adik iparnya segera membawa bayi itu ke Hospital Melaka, namun Nur Daniel disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Lebih memilukan, hari kejadian merupakan hari pertama Azura kembali bekerja selepas cuti bersalin tiga bulan.
“Saya tak sangka hari pertama bekerja jadi hari terakhir saya melihat suami dan anak bongsu saya,” katanya ringkas.
Adik kepada arwah, Masturadiana Ibrahim, 33, berkata abangnya, Nuruleffendy Ibrahim, 35, tidak mempunyai sejarah penyakit jantung, namun ada mengadu sakit dada kepada isterinya sehari sebelum kejadian.
“Tapi dia tak nak ke hospital, katanya sakit biasa. Tak sangka esoknya, kakak ipar datang berlari ke rumah beritahu abang dan anak dah tak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka.