KUALA LUMPUR: Penyertaan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) langsung tidak memberi kesan kepada UMNO, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Puad menyindir langkah Khir itu sebagai tindakan yang tidak membawa sebarang nilai tambah kepada Bersatu mahupun lanskap politik semasa.
“UMNO tidak rugi sesen pun. Bawalah kudis ‘penyapu’ ke dalam Bersatu,” tulis Puad, merujuk kepada kontroversi ‘hadiah penyapu’ yang pernah mencetuskan kemarahan penjawat awam ketika Khir menerajui Selangor dahulu.
Menurut Puad, rakyat khususnya di Selangor masih belum melupakan tindakan Khir semasa menjadi Menteri Besar yang didakwa menjadi salah satu punca kejatuhan UMNO di negeri itu pada Pilihan Raya Umum 2008.
Beliau turut mempertikaikan kenyataan Khir yang mahu “mengembalikan dominasi” politik di Selangor, dengan menyifatkan pemikiran sedemikian sebagai ketinggalan zaman dan jauh daripada realiti politik masa kini.
“Dominan tidak semestinya UMNO perlu bertanding banyak kerusi atau menang dua pertiga. Berkongsi kuasa dan mentadbir negeri-negeri seperti Johor, Melaka, Perak dan Pahang adalah permulaan yang baik,” katanya.
Puad turut menegaskan bahawa dalam konteks politik semasa, dominasi bukan hanya soal angka, tetapi prestasi, prinsip, dan kepercayaan rakyat.
Beliau menyifatkan alasan Khir menyertai Bersatu sebagai “dangkal” dan “tidak berpijak pada realiti politik baharu”, malah mendakwa keputusan Khir lebih didorong oleh kekecewaan peribadi selepas tidak dicalonkan UMNO pada PRU15.
“Politik hari ini perlukan kebijaksanaan dan kepercayaan. Khir Toyo masih bernafsu untuk jadi calon. Dia kecewa kerana tidak dicalonkan, sebab itu dia masuk Bersatu,” dakwa Puad.
Terdahulu Ketua Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mendedahkan bahawa Khir Toyo telah sah menyertai parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, sekali gus mencetuskan reaksi pelbagai pihak.