KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak Benyahya atau lebih dikenali sebagai PU Syed menegur tindakan pelakon dan penyampai radio, Sharifah Aleya yang secara terbuka berkongsi mengenai tindik hidungnya dalam sebuah podcast baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di media sosial, PU Syed menegaskan bahawa perbuatan menindik hidung bagi wanita Muslim adalah haram di sisi Islam kerana ia menyerupai budaya agama lain, yang dikenali sebagai tasyabbuh.
“Untuk Puan Sharifah, saya nasihatkan. Hukum menindik hidung boleh rujuk di Google, tapi jangan sekadar ikut suami reda atau ibu bapa tak marah. Ini bukan soal pandangan keluarga, ini soal hukum syarak,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti di Malaysia yang mengharamkan perbuatan tersebut kerana tidak menepati garis panduan penampilan dalam Islam.
“Majoriti wanita Islam hanya menindik telinga. Itu sudah mencukupi. Tak perlu sampai menindik hidung, lidah atau kening,” tambahnya lagi.
PU Syed juga menekankan bahawa keutamaan umat Islam adalah mematuhi hukum agama, bukan mengejar penerimaan sosial atau trend fesyen.
“Pandangan Islam mesti didahulukan. Walaupun suami setuju atau keluarga merestui, kalau Islam kata haram, maka haram. Jangan normalisasi sesuatu yang dilarang agama,” tegasnya.
Teguran tersebut muncul susulan kenyataan Sharifah Aleya yang menyatakan dia menindik hidung atas pilihan peribadi dan dengan persetujuan suaminya.
“Ia cuma cincin hidung. Saya sukakannya, suami saya pun sukakannya. Tenang saja,” katanya dalam podcast berkenaan.
Tindakan Aleya menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk kecaman daripada sesetengah pihak yang menganggap ia tidak sesuai dikongsi secara terbuka.