KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Klang hari ini memutuskan bekas pendakwah selebriti, Azman Syah Alias, 44, hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, berbanding 24 tahun seperti yang diputuskan sebelum ini, atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki.
Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim membenarkan rayuan Azman agar kedua-dua hukuman dijalankan secara serentak, namun mengekalkan dua hukuman sebatan yang dikenakan.
“Saya dapati kes ini berjalan serentak dan melibatkan saksi serta kejadian sama. Oleh itu, saya benarkan hukuman dijalankan serentak selama 12 tahun,” katanya ketika membacakan keputusan.
Azman sebelum ini didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ketika kejadian, di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, Klang, sekitar jam 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari dan 29 Jun 2022.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding rayuan, peguam Azman, Fahmi Adilah berhujah bahawa Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman secara berasingan (menjadikan jumlah keseluruhan 24 tahun), walaupun perbicaraan melibatkan saksi dan mangsa yang sama dalam dua kejadian berbeza.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Najiha Tengku Zahari membalas bahawa walaupun saksi adalah sama, ia tidak mewajarkan hukuman serentak, sambil menegaskan kepentingan awam dalam kes seperti ini lebih utama berbanding kesan hukuman kepada tertuduh.
“Kedudukan tertuduh sebagai pendakwah, umur mangsa, dan hubungan mereka perlu diambil kira. Apa yang lebih penting adalah trauma kepada mangsa, bukan sekadar impak pemenjaraan terhadap perayu,” katanya.
Pada 27 September 2024, Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan, yang diarahkan berjalan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan 24 tahun.
Permohonan untuk menangguhkan hukuman ditolak dan Azman dihantar ke Penjara Kajang serta-merta.