Projek MyKiosk Disiasat SPRM, Fokus Kepada Dakwaan Rasuah, Penyelewengan Tender

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam pemberian tender projek MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, siasatan itu dimulakan susulan aduan rasmi yang diterima daripada salah sebuah parti politik.

“Dalam siasatan ini, SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara utama iaitu mengesan sama ada wujud amalan rasuah serta penyelewengan dalam proses tender,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, selain Bahagian Siasatan, Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM turut menjalankan siasatan secara serentak bagi meneliti keseluruhan proses tadbir urus projek berkenaan.

“KPKT telah mengemukakan laporan lengkap berkaitan proses dan pemberian tender projek MyKiosk ini. Beberapa pihak yang terlibat juga menyerahkan dokumen berkaitan kepada SPRM,” jelas Zainul.

Beliau turut memaklumkan, fokus siasatan BPT ialah mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang kepincangan, pelanggaran tatakelola, sistem atau prosedur dalam proses pemberian tender terbabit.

Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

Terdahulu, projek MyKiosk menjadi bualan hangat apabila wujud dakwaan harga yang ditetapkan terlalu mahal, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai proses perolehan yang dijalankan.

KPKT sebelum ini dilaporkan telah menyerahkan semua dokumen berkaitan projek tersebut kepada SPRM bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles