KUALA LUMPUR: Siapa sangka di sebalik nama manis ‘program motivasi rumah tangga’, rupanya wujud amalan pelik yang didakwa menyesatkan sehingga sanggup meruntuhkan institusi kekeluargaan.
Satu pendedahan mengejutkan dibuat seorang bekas peserta program motivasi dan bimbingan rumah tangga dikendalikan sepasang suami isteri, yang mendakwa ia sebenarnya berselindung di balik topeng “keluarga bahagia” dan “seni cinta rumah tangga” untuk mengembangkan ajaran batin songsang.
Lebih mengejutkan, sasaran utama program ini didakwa adalah wanita bekerjaya yang sedang tertekan dengan masalah rumah tangga termasuk isu suami curang, hubungan dingin dan tekanan emosi.
Dalam satu hantaran di Facebook yang kini tular, bekas peserta itu mendedahkan bagaimana ramai wanita kononnya mencari jalan memulihkan rumah tangga akhirnya menjadi mangsa.
“Siapa sangka kelemahan itu digunakan pasangan guru motivasi ini sehingga ramai peserta perempuan rebah dalam dakapan suaminya sambil disaksikan isteri guru itu sendiri,” dedahnya.
Tambah memeranjatkan, katanya ada wanita bertudung labuh yang dilihat manis di studio program tersebut sanggup merelakan suami motivator memeluk mereka, kononnya atas nama ‘penyucian jiwa’.
Tidak terhenti di situ, ajaran yang dibawa pasangan tersebut turut didakwa menggunakan buku rujukan Hindu untuk bahan bacaan peserta, malah sesi komunikasi diteruskan dalam kumpulan Telegram rahsia.
Bekas peserta itu mendakwa lagi, wanita-wanita yang terjebak akhirnya diminta bercerai daripada suami masing-masing, manakala suami peserta pula diberi ‘cendawan ajaib’ yang dibawa khas dari Bali untuk tujuan yang mencurigakan.
“Alhamdulillah ramai ahli sudah keluar dan buat aduan kepada jabatan agama. Tapi hingga kini tiada tindakan diambil, kami amat kecewa kerana bukti apa lagi yang mereka mahukan?” katanya kesal.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan ajaran sesat yang semakin berani menular itu.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai lagi wanita yang mengaku pernah terlibat dengan program pasangan itu, dan menuntut pihak berkuasa agama segera mengambil tindakan tegas.
Malah ada yang mendakwa mereka dipaksa membuat bayaran untuk mengikuti kelas lanjutan yang didakwa semakin jauh terpesong daripada akidah Islam.