KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras kepada orang awam agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau gambar kanak-kanak berkaitan kes kematian Allahyarham Zara Qairina, yang kini masih dalam siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata pihaknya telah mengesan penularan kandungan tidak sahih di media sosial oleh beberapa individu yang dipercayai cuba mengambil kesempatan dalam isu berkenaan.
“Maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat, boleh mengelirukan masyarakat, menjejaskan proses siasatan, dan mengganggu keadilan kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mohd Khalid menegaskan bahawa semua tindakan penyiasatan, termasuk proses bedah siasat, dijalankan secara profesional dan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar berhenti memuat naik atau menyebarkan kandungan yang tidak disahkan, terutama yang melibatkan identiti, gambar, atau maklumat sensitif berkaitan kanak-kanak dalam kes tersebut.
Menurut beliau, perbuatan mendedahkan maklumat berkaitan kanak-kanak dalam siasatan atau maklumat sulit siasatan adalah satu kesalahan serius mengikut undang-undang Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu larangan pendedahan identiti, alamat, sekolah atau gambar kanak-kanak; Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu larangan pendedahan maklumat oleh individu yang mengetahuinya secara rasmi dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian atau kandungan yang mengganggu.
“Pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara. PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggarnya,” katanya.
PDRM turut menyeru masyarakat agar menghormati sensitiviti kes yang melibatkan kematian kanak-kanak serta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.
Orang ramai juga digesa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi, dan hanya merujuk kepada kenyataan rasmi pihak berkuasa.