KUALA SELANGOR — Polis menahan tiga lelaki disyaki suspek terlibat dalam kes samun berkawan menggunakan senjata api tiruan di sebuah premis perniagaan hasil laut di Pasir Penambang, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Azaharudin Bin Tajudin berkata pihaknya menerima laporan pada 7 Ogos lalu daripada seorang pemilik premis jualan hasil laut Jin Xiang, yang memaklumkan kejadian samun melibatkan dua suspek bersenjata api tiruan.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 5 Ogos kira-kira jam 5.30 pagi apabila dua lelaki bertopeng memasuki premis berkenaan. Seorang suspek menahan pekerja wanita warga Indonesia di pintu masuk, manakala seorang lagi mengacukan pistol tiruan kepada pengadu dan mengarahkannya membuka laci kaunter bayaran.
“Suspek mengambil wang tunai kira-kira RM700 sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan membawa kepada penahanan tiga lelaki berkenaan disyaki terlibat dalam kes tersebut. Dua daripada mereka direman enam hari bermula 8 Ogos hingga 13 Ogos, manakala seorang lagi direman tujuh hari bermula 10 Ogos hingga 17 Ogos.
Azaharudin berkata siasatan turut mendapati ketiga-tiga suspek yang ditahan itu dipercayai terbabit dalam satu lagi kes samun berkawan menggunakan senjata api tiruan di sebuah kedai runcit di kawasan Tanjong Karang, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.