SHAH ALAM: Polis Selangor mengesahkan wujud aktiviti berbogel dalam satu sesi tertutup yang dikenali sebagai Queens Night, ketika program motivasi anjuran eHATI di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada September 2024.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati program tersebut mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM9,000 bagi dua jenis pakej termasuk pakej mewah yang menyediakan penginapan empat hari tiga malam dan diakhiri dengan Queens Night.
“Hasil siasatan setakat ini mendapati memang ada aktiviti berbogel yang berlaku dalam majlis itu, sekurang-kurangnya melibatkan empat individu.
“Difahamkan, adegan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada acara dipanggil ‘rebirth’ yang kononnya untuk meningkatkan motivasi diri peserta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Menurut Hussein, polis telah mengenal pasti seramai 50 peserta yang menghadiri program tersebut melalui senarai yang diperoleh daripada penganjur, dan mereka diminta hadir bagi memberi keterangan.
“Kita sudah ada semua senarai nama peserta. Mereka diminta hadir memberi keterangan dan sekiranya gagal, tindakan lebih keras termasuk tangkapan akan diambil.
“Setakat ini kita telah merakam keterangan daripada 30 individu termasuk penganjur, fasilitator dan peserta,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, siasatan turut mendapati program itu tidak hanya menyasarkan individu beragama Islam, sebaliknya dianjurkan untuk semua, khusus kepada golongan wanita.
Hussein memaklumkan pihaknya juga merampas pelbagai peralatan termasuk beberapa cecair yang dipercayai digunakan sebagai minuman dalam program berkenaan.
Sampel cecair itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti sama ada ia mengandungi dadah atau bahan terlarang.
“Kita juga kesan terdapat peserta terdiri daripada golongan profesional termasuk penjawat awam. Namun siasatan masih berjalan, beri kami masa untuk lengkapkan,” katanya.
Hussein berkata ini merupakan kali pertama polis membuka kertas siasatan terhadap program berkenaan dan pihaknya sedang meneliti latar belakang pengasas termasuk kelayakan mereka.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan, Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu berkelakuan lucah di tempat awam serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Kita memerlukan masa untuk lengkapkan siasatan secara terperinci dan akan maklumkan perkembangan selanjutnya dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pasangan suami isteri yang juga pengasas eHATI bersama anak perempuan mereka antara enam individu berusia antara 26 hingga 57 tahun direman selama tiga hari sehingga 18 Julai ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.
Kesemua yang direman terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki.