CYBERJAYA: Misteri pembunuhan seorang pelajar universiti swasta di sebuah kondominium baru-baru ini berjaya dirungkai pantas apabila polis menahan empat individu termasuk teman serumah mangsa, dalam tempoh hanya 48 jam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek utama adalah seorang lelaki yang kini direman, manakala tiga lagi suspek wanita ditahan bagi membantu siasatan.
Salah seorang daripada mereka merupakan teman wanita suspek utama, yang juga rakan serumah mangsa.
“(Daripada tiga wanita yang ditahan) seorang adalah teman serumah mangsa yang juga teman wanita suspek. Dua lagi pula tinggal di tingkat atas kondominium yang sama,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Hussein, siasatan awal mendapati suspek lelaki mengambil kesempatan apabila mangsa tinggal bersendirian.
Rakan serumah mangsa, termasuk teman wanitanya, pulang ke kampung masing-masing sempena cuti semester.
“Polis percaya suspek memang ada niat tidak baik. Apabila peluang muncul, dia masuk ke unit itu dengan menggunakan kad akses yang diberikan oleh teman wanitanya.
“Suspek kemudian memukul mangsa menggunakan objek keras sehingga cedera parah yang menjadi punca kematian,” jelasnya.
Beliau berkata, sebelum ini suspek lelaki kerap menginap di kondominium berkenaan bersama teman wanitanya, menyebabkan akses ke unit berkenaan tidak mencurigakan.
“Teman wanita suspek memang serahkan kad akses dan kunci bilik sebab suspek sudah biasa bermalam di situ sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, tempoh reman ke atas semua suspek yang akan tamat pada 3 dan 4 Julai ini akan disambung bagi melengkapkan siasatan.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat pelajar berkenaan pada jam 10.28 pagi, 24 Jun lalu.