KEPALA BATAS: Polis Pulau Pinang menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri Himpunan Solidariti Jalur Gemilang yang dirancang berlangsung di Bertam, esok, bagi menjaga keselamatan penduduk dan ketenteraman awam.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai rancangan penganjuran perhimpunan tersebut dan memberi jaminan pemantauan akan dilakukan secara tegas di lokasi.
“Orang ramai diminta bersabar sementara menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara berhubung kes bendera terbalik itu. Elakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan. Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau menimbulkan kekacauan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, siasatan sedang dijalankan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan video insiden pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Setakat ini, sebanyak 38 laporan polis telah dibuat di seluruh negara, termasuk 17 di Pulau Pinang dan 21 di negeri lain.
Kertas siasatan kes berkenaan telah dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya Pulau Pinang pada 11 Ogos lalu dan kini sedang diteliti.
Sebelum ini, Pemuda UMNO Pulau Pinang mengumumkan akan hadir ke Bertam esok sebagai reaksi terhadap kesediaan DAP menyambut mereka dengan mengedarkan 831 helai Jalur Gemilang.
Program pada jam 5 petang itu dijangka turut disertai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, juga menyatakan kesediaan pihaknya untuk bersama dalam himpunan tersebut.