Polis Akui Kekeliruan Sebabkan Fahmi Reza Tersenarai Hitam

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa kekeliruan dalam proses semakan di pintu keluar negara menjadi punca aktivis dan artis grafik, Fahmi Reza, disekat daripada meninggalkan Malaysia semalam.

Fahmi sebelum ini mendakwa beliau dihalang di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) ketika ingin menaiki penerbangan ke Singapura.

Menurutnya, seorang pegawai imigresen memaklumkan bahawa larangan keluar negara itu datang daripada Bukit Aman, dan beliau disenaraihitamkan daripada meninggalkan negara.

Namun hari ini, Razarudin menjelaskan bahawa tiada sekatan rasmi dikenakan terhadap Fahmi buat masa ini.

“Nama beliau berada dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman polis susulan siasatan yang masih berjalan. Namun, senarai ini tidak bermaksud terdapat sekatan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, senarai pemantauan tersebut adalah sebahagian daripada prosedur lazim pihak berkuasa dan bukannya perintah larangan yang menghalang individu keluar negara.

Polis, katanya, sedang meneliti insiden itu dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk memperkemas prosedur sedia ada.

“Polis kekal komited untuk melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak setiap rakyat Malaysia,” tegas beliau.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara untuk meneliti kes Fahmi Reza secara menyeluruh.

“Kerajaan menjunjung tinggi kebebasan individu, selagi tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Pihak polis juga diminta untuk memberikan penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut, dan kerajaan akan terus memantau perkembangan kes berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles