PM Tegaskan TVET Pemacu Utama Ekonomi, Perluas Peluang Latihan & Keusahawanan Anak Muda

MELAKA,– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kini memainkan peranan strategik dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus menjadi antara pemacu utama dalam penyediaan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri global.

Berucap merasmikan sambutan Hari TVET Negara di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), beliau berkata landskap TVET negara telah berubah secara drastik dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, dengan peningkatan ketara dari segi pendaftaran pelajar dan keyakinan pelabur.

“Hampir setengah juta pelajar telah mendaftar dalam program TVET tahun ini sahaja. Ini satu lonjakan besar dan bukti bahawa usaha bersepadu semua pihak, khususnya Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, telah menampakkan hasil,” katanya.

Anwar turut menekankan bahawa pelabur asing seperti Google, Microsoft, Infineon dan AMD menyambut baik pertumbuhan ekonomi Malaysia, namun menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang khusus seperti kejuruteraan dan teknologi semikonduktor.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pelaburan dalam latihan kemahiran dipertingkatkan dan sistem pendidikan negara diperkasakan dengan falsafah yang menitikberatkan nilai, adab serta kecekapan teknikal.

“Pendidikan bukan sekadar melahirkan jurutera atau teknokrat, tetapi juga insan beradab, berakhlak dan bertanggungjawab. Inilah yang harus menjadi asas dalam membentuk warganegara yang menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengumumkan penambahan peruntukan khas kepada Melaka bagi memperkasa program keusahawanan TVET melalui kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, Khazanah dan PNB.

“Untuk Melaka, saya umumkan tambahan RM10 juta melalui Majlis TVET Negara, sebagai permulaan untuk memperluas latihan keusahawanan teknikal secara menyeluruh,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan menjadikan Majlis TVET sebagai sebuah Suruhanjaya sedang dikaji, sejajar dengan pertambahan pelajar, bidang latihan dan keperluan penyelarasan lebih mantap antara sektor awam dan swasta.

Dalam pada itu, Anwar turut menyelar segelintir pihak yang sering menabur persepsi negatif terhadap usaha pembangunan negara dan mempolitikkan isu rasuah tanpa bukti yang sahih.

“Kita tidak akan berjaya memajukan negara dengan hasutan dan kebencian. Kejayaan negara terletak pada kekuatan ekonomi, perpaduan rakyat dan kemahiran anak muda yang terus membangun,” katanya.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

BBerkaitan

Latest articles