Pilih Kampung Ibu Sebagai Kampung Angkat Madani, Wan Saiful Dakwa Wujud Konflik Babitkan KPN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini membangkitkan isu konflik kepentingan susulan tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memilih kampung ibunya sebagai Kampung Angkat Madani 2025 di bawah seliaannya.

Kampung tersebut, Kampung Parit Seberang di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, dilapor akan menerima peruntukan sebanyak RM1 juta bagi tujuan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur, yang didakwanya tidak wajar dilakukan menggunakan dana awam.

“Jika Tan Sri Razarudin mahu membantu kampung ibunya, maka sepatutnya gunakanlah wang sendiri. Sejak bila pula seorang individu boleh ‘memilih kampung ibunya’ untuk menerima wang rakyat sehingga satu juta ringgit?” katanya melalui kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, media melaporkan Razarudin memilih kampung berkenaan selaras dengan objektif memperkukuh prasarana dan memenuhi keperluan asas penduduk luar bandar melalui inisiatif Kampung Angkat Madani.

Namun, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mempersoalkan justifikasi di sebalik pemilihan kampung tersebut, sambil mengkritik apa yang dilihat sebagai penyalahgunaan kuasa oleh badan penguat kuasa tertinggi negara.

“Apa yang menyedihkan, ini dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan yang sepatutnya menjadi contoh dalam integriti dan tadbir urus baik,” katanya.

Wan Saiful secara sinis turut berkata amalan kronisme kini menjadi norma dalam pentadbiran kerajaan dengan menyebut beberapa contoh hubungan keluarga dalam pelantikan dan keputusan kerajaan.

“Bapa pilih anak. Suami pilih isteri. Anak pilih ibu. Abang pilih adik. Semuanya ada dalam kerajaan hari ini,” sindir beliau.

Tambahnya lagi, beliau tidak terkejut jika selepas ini satu kenyataan rasmi dikeluarkan untuk mempertahankan keputusan tersebut kononnya melalui proses telus dan dinilai oleh jawatankuasa bebas.

“Sebagai respon awal, saya katakan bahawa ini adalah ‘afterthought’ selepas barah kronisme didedahkan media. Itu alasan basi yang amat biasa digunakan oleh semua kroni seluruh dunia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles