KOTA BHARU: Polis Kelantan menyerbu sebuah pesta tertutup melibatkan komuniti gay yang berlangsung di sebuah banglo mewah di Kemumin, Pengkalan Chepa pertengahan bulan lalu, dipercayai menjadi lokasi pertemuan untuk aktiviti seks songsang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 1 pagi hasil maklumat awam dan risikan pasukan khas.
“Ketika intipan, pesta itu dihadiri lebih 100 lelaki berusia 20-an hingga 30-an, namun jumlahnya berkurangan selepas tengah malam.
“Semasa serbuan dijalankan, hanya tinggal kira-kira 20 lelaki di dalam banglo tersebut. Mereka dipercayai sedang membuat persiapan ke arah hubungan seks sesama lelaki,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui ratusan kondom serta pelbagai jenis ubat berkaitan rawatan HIV yang disimpan di dalam banglo berkenaan.
Polis turut menahan beberapa individu yang mengaku menganjurkan majlis itu secara percuma, dengan jemputan dibuat melalui media sosial.
“Ada antara mereka yang mengaku sebagai pekerja seks sejenis dan turut menghidap HIV. Lebih mengejutkan, terdapat juga penjawat awam dalam kalangan peserta,” tambah Yusoff.
Siasatan awal mendapati tiga individu memiliki bahan lucah berunsur homoseksual dan kesemua mereka kini disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki atau mengedar bahan lucah.
Polis masih meneruskan siasatan terhadap penganjur dan peserta lain yang dipercayai melarikan diri sebelum serbuan dilakukan.
“Kami memandang serius perkara ini dan akan terus memantau serta mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan tidak bermoral seperti ini di negeri Kelantan,” tegas beliau.