Pertemuan Anwar, Zahid, Hajiji – Isyarat Muafakat Baharu Menjelang PRN Sabah

KUALA LUMPUR: Pertemuan tiga pemimpin utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Daruk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Hajiji Noor, pada semalam menarik perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pertemuan bersama Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berlangsung dalam suasana harmoni, mencerminkan kematangan politik serta iltizam memperkukuh kestabilan negara.

“Kestabilan politik adalah asas penting bagi menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Kerjasama erat antara pemimpin negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan aspirasi rakyat direalisasikan secara menyeluruh dan inklusif.

“Saya berharap semangat muafakat ini terus menjadi asas perpaduan nasional yang lebih kukuh demi masa depan Malaysia yang progresif, adil dan sejahtera untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Pertemuan itu menguatkan spekulasi mengenai usaha membentuk pakatan baharu antara PH, BN dan GRS bagi menghadapi PRN Sabah.

Pada Mei lalu, BN dan PH telah mengumumkan kerjasama menghadapi pilihan raya.

Kemudian pada 27 Julai, Hajiji pula mengumumkan GRS bersama PH sepakat membentuk pakatan dan terbaru pada 3 Ogos, Anwar mengesahkan rundingan sedang dijalankan antara BN, PH dan GRS untuk mengelak pertembungan tiga penjuru.

Namun, situasi masih berliku apabila Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menegaskan BN negeri tidak akan bekerjasama dengan GRS, dan sebarang pakatan hanya akan dibentuk selepas PRN.

Hubungan antara UMNO Sabah dan GRS retak sejak Januari 2023 apabila Bung Moktar gagal menyingkirkan Hajiji dalam satu gerakan politik dikenali sebagai “Langkah Kinabalu”.

Sejak itu, kerjasama kedua-dua parti di peringkat negeri terhenti.

Dengan PRN Sabah semakin hampir, pertemuan Anwar, Zahid dan Hajiji kini dilihat sebagai petanda sama ada politik negeri itu menuju ke arah penyatuan besar atau sekali lagi berdepan dengan pertembungan blok utama.

BBerkaitan

Latest articles