Permintaan Meningkat, Asia Perlu Realistik, Strategik Dalam Peralihan Tenaga

KUALA LUMPUR: Permintaan tenaga di Asia dijangka terus melonjak seiring dengan perkembangan pesat industri dan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), sekali gus menuntut peralihan tenaga yang lebih strategik dan realistik di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa transisi tenaga bukan sekadar soal teknologi, tetapi juga memerlukan kerangka pelaburan dan kewangan yang adil serta inklusif.

“Kita tahu keperluan tenaga akan terus meningkat dari sektor perindustrian hingga AI. Maka, kita perlu membuat keputusan yang strategik, pragmatik dan realistik,” katanya ketika merasmikan Majlis Pembukaan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Anwar menyatakan kebimbangan terhadap kadar pelaburan tenaga bersih yang terlalu rendah di Asia Tenggara, yang hanya mencatat kira-kira dua peratus daripada jumlah pelaburan tenaga bersih global pada 2023, meskipun rantau ini memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah.

“Kita ada tenaga hidro di Laos, solar di Malaysia dan geotermal di Indonesia. Potensinya sangat besar tetapi belum diterjemahkan dalam bentuk pelaburan yang kukuh,” katanya.

Asia Tenggara kini menyumbang hampir 50 peratus pertumbuhan tenaga global dan dijangka meningkat kepada 60 peratus dalam tempoh terdekat, menjadikan rantau ini sebagai pemain utama dalam agenda tenaga global.

Menurut Anwar, Malaysia memilih untuk tidak meniru dasar negara lain dalam pelaksanaan peralihan tenaga, sebaliknya membangunkan pendekatan yang disesuaikan dengan realiti tempatan.

“Kami tidak meniru dasar orang lain. Kami melaksanakan dasar yang sesuai dengan realiti kami dasar yang realistik dan pragmatik,” tegasnya.

Antara langkah yang sedang dilaksanakan ialah skim penyediaan tenaga boleh diperbaharui, pelaksanaan mekanisme Three-Parties Access (TPA), penggubalan Rang Undang-Undang Carbon Capture and Storage (CCS) 2025 dan pembangunan infrastruktur tenaga moden oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Anwar turut menekankan keperluan untuk menyeimbangkan keselamatan tenaga negara dengan agenda kelestarian alam sekitar, tanpa mengorbankan keperluan ekonomi dan sosial rakyat.

“Kita tidak boleh hanya mengejar dekarbonisasi tanpa memahami keperluan rakyat. Transisi tenaga mesti dilakukan dengan bijak demi kemampanan dan kemajuan bersama,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles