KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Perlis mengambil langkah drastik dengan mengharamkan sepenuhnya penjualan vape dan rokok elektronik di seluruh negeri itu, berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesan negatif vape terhadap kesihatan, terutama dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.
“Mulai 1 Ogos, semua lesen perniagaan berkaitan vape tidak akan diperbaharui dan akan ditamatkan serta-merta. Difahamkan, terdapat kurang daripada 50 premis yang menjual vape di Perlis, jadi penguatkuasaan ini dijangka tidak sukar,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini, hari ini.
Tambah beliau, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah pun mengharamkan penggunaan vape sejak 2022, dan langkah terbaharu ini adalah tindakan susulan bagi memperkukuhkan pendirian negeri terhadap bahaya rokok elektronik.
“Walaupun kita akui tidak mudah untuk menyekat penggunaan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita sedang berusaha melindungi golongan muda daripada ketagihan yang merosakkan ini,” ujar beliau.
Langkah tegas ini turut menyusul selepas kejadian membimbangkan bulan lalu apabila seorang pelajar Tingkatan Tiga dilaporkan mengalami sawan dan berbuih mulut selepas dipercayai menghisap vape di tandas sebuah sekolah di Perlis.
Menteri Besar turut menggesa peniaga vape di negeri itu agar segera mencari alternatif perniagaan lain sebelum larangan dikuatkuasakan.
“Kita faham ada yang bergantung pada perniagaan ini, tetapi demi kesihatan rakyat dan masa depan generasi muda, mereka perlu beralih kepada perniagaan yang lebih selamat dan bermanfaat,” katanya.