Pengurusan Sampah: Malaysia Perlu Serius Dengan Teknologi “Dari Sampah Kepada Tenaga”

Tahukah anda? Saban hari, rakyat Malaysia menghasilkan lebih 38,000 tan sisa pepejal. Setiap seorang daripada kita menyumbang purata 1.17 kilogram kepada jumlah itu — dan 25% daripadanya datang dari Selangor sahaja. Ini bukan sekadar statistik. Ia adalah realiti yang menuntut tindakan segera.

Namun, pendekatan kita dalam menangani masalah ini masih bersifat biasa dan “business as usual”. Kita masih terperangkap dalam kitaran pelupusan konvensional melalui tapak pelupusan sampah (landfill) — model lapuk yang tidak lagi relevan, malah membebankan alam sekitar, mengorbankan ribuan ekar tanah dan melepaskan gas rumah hijau dalam skala membimbangkan.

Kita juga masih segar dengan insiden kebakaran tapak pelupusan pada tahun 2022 di Pulau Burong, Pulau Pinang yang terbakar akibat gas metana.

Kejadian itu mengakibatkan pemindahan 400 penduduk dan penutupan sementara 10 sekolah, serta mengambil masa 3 minggu untuk dipadamkan. Kebakaran ini merebak ke 11.3 hektar daripada keseluruhan 33 hektar tapak landfill sebelum berjaya dikawal.

Mutakhir ini, Malaysia mula menjadi destinasi baru sisa plastik dari negara-negara maju selepas China menutup pintunya kepada import sisa. Kita pernah dikejutkan dengan 60 kontena sisa tercemar dari UK, AS dan Australia yang cuba diseludup ke kilang haram dalam negara.

Malah dalam satu laporan, dikenalpasti sejumlah kontena tersebut telah disusun dan diproses secara haram sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Malah lebih mengejutkan, Tapak pelupusan sampah haram di batu 14, Kapar Selangor boleh disifatkan sebagai yang terbesar di Asia Tenggara oleh seorang pemerhati alam sekitar dari Jerman.

Amir Samardzic yang juga merupakan penyelidik kitar semula berkata masalah sama berlaku di Thailand dan Indonesia, tetapi tidak pernah beliau lihat tapak sebesar dan seteruk ini di mana-mana tempat terutamnya di Asia Tenggara katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia pada Disember 2023 lalu.

Tambahnya beliau tidak menyangka Malaysia khususnya Lembah Klang mempunyai bandar yang cantik dengan kehadiran pelancong namun mempunyai masalah berkaitan alam sekitar.

Justeru Malaysia tidak boleh — dan tidak patut — menjadi “tong sampah dunia”.

Kaedah Landfill dan Impaknya kepada Alam Sekitar

Menurut kajian, kaedah landfill melepaskan gas tCO₂e. Pada tahun 1990, sebanyak 3.7 juta tan gas tCO₂e dilepaskan, dan jumlah ini meningkat kepada 13.9 juta tan pada 2019.

Pelepasan ini bersamaan dengan 6 juta buah kereta dan menyumbang kepada 4% pelepasan gas rumah hijau (GHG) negara. Jika dibiarkan berterusan, pelepasan boleh meningkat kepada 26 juta tan menjelang 2050.

Gas tCO₂e merangkumi karbon dioksida (CO₂), metana (CH₄), nitrous oxide (N₂O) dan hidrofluorokarbon (HFC) — semua ini menyumbang kepada pemanasan global.

Peningkatan pencemaran udara (terutamanya daripada pembakaran bahan api fosil) akan menyebabkan asma, penyakit jantung, paru-paru dan kanser.

Landfill juga merosakkan tanah apabila leachate meresap ke dalam bumi, menjadikan tanah tidak sesuai untuk pembangunan selama hampir 100 tahun. Ini mengakibatkan kehilangan nilai tanah dan pembaziran sumber negara.

WTE: Solusi Yang Telah Terbukti

Teknologi Waste-To-Energy (WTE) adalah solusi moden yang terbukti. Ia bukan seperti insinerator lama, tetapi satu sistem yang menukar sisa menjadi tenaga elektrik, stim dan haba secara bersih, selamat dan terkawal.

Negara seperti Sweden, Jerman, Denmark dan Singapura menggunakan kurang dari 5% landfill, selebihnya diurus melalui kitar semula, kompos dan WTE.

Video WTE di Jepun

Malaysia pula dilihat  masih jauh. Jika tiada perubahan, kita akan memerlukan 6,000 ekar tanah untuk landfill menjelang 2050 — bersamaan separuh keluasan Putrajaya.

Apakah itu warisan yang kita mahu tinggalkan kepada generasi akan datang?

Projek WTE Rawang: Ujian Litmus Kesungguhan Negara

Projek WTE di Rawang adalah peluang terbaik untuk memulakan perubahan sebenar. Teknologinya menepati — bahkan melebihi — piawaian antarabangsa, termasuk:
• Pengurusan zarah terampai (PM): 30 mg/m³, setara dengan standard DOE dan China, lebih baik dari beberapa negara lain.
• Pelepasan merkuri: 0.03 mg/m³, lebih rendah daripada had DOE iaitu 0.05 mg/m³.

malah menurut laporan Kajian DOE mengenai projek ini, dijangka projek ini akan menyediakan 2,000 peluang pekerjaan semasa pelaksanaan dan operasi.

Menyentuh mengenai Dakwaan bahawa kawasan projek berisiko kerana berada di atas simpanan arang batu juga adalah tidak berasas. Burj Khalifa, bangunan tertinggi di dunia, hanya mempunyai kedalaman asas 164 kaki (50 meter) — sedangkan kajian geoteknikal menunjukkan kedalaman arang batu di Rawang adalah 300 meter ke dalam tanah, jauh di luar lingkungan struktur projek WTE.

Lebih meyakinkan, kajian Electrical Resistivity Tomography (ERT) yang dijalankan pada 2023 dan 2024 menolak kewujudan terowong perlombongan lama di tapak cadangan.

Mengapa Takut? Heathrow UK Ada WTE

Projek WTE di UK yang terletak hanya 1.5 kilometer dari Lapangan Terbang Heathrow membuktikan bahawa kemudahan ini boleh dibina bersebelahan infrastruktur kritikal tanpa menjejaskan keselamatan atau operasi.

Itu di UK, bagaimana pula dengan jiran kita di Singapura? Bagaimana pengurusan sampah mereka dibuat ?

Video Nasdaily mengenai pengurusan Sampah Di Singapura

dan tonton laporan CNA mengenai WTE ini

Ubah Paradigma, Jangan Biarkan Malaysia Tertinggal

Kerajaan Malaysia merancang membina 18 loji WTE menjelang 2040. Namun, perancangan tanpa pelaksanaan hanya akan kekal sebagai dokumen.

Kita tidak boleh terus berharap rakyat akan mengasingkan sampah secara menyeluruh dalam masa terdekat. Dalam realiti semasa, WTE adalah pendekatan paling sesuai — cepat, bersih dan lestari.

Setiap hari yang kita tangguh, kita kehilangan tanah, udara segar, dan masa depan generasi akan datang.

Kesimpulan

Malaysia mesti berani memilih masa depan yang bersih dan mampan. Teknologi WTE bukan sekadar satu pilihan — ia satu keperluan nasional. Ia menukar masalah kepada sumber, dan beban kepada peluang.

Masa untuk bertindak ialah sekarang. Bukan esok.

———————————————————————————————————————————

Oleh Muda Muhammad, Penganalisis Teknologi & Komunikasi

BBerkaitan

Latest articles