Penganggur, Kekasih Didakwa Bunuh Penuntut Universiti Cyberjaya

CYBERJAYA: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar Universiti Cyberjaya, bulan lalu.

Tertuduh, Sri Darvien Mathavan, 19, bersama teman wanitanya, Thineswary V. Devandran, 19, hanya mengangguk faham selepas jurubahasa selesai membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, Sri Darvien didakwa membunuh Maniishapriet Kaur Akhara, 20, di sebuah unit kondominium di Blok A303A, Mutiara Ville, Persiaran Multimedia, Cyberjaya antara jam 9.11 malam hingga 11.31 malam pada 23 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sekiranya tidak dijatuhkan hukuman gantung, tertuduh boleh dikenakan penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan.

Sementara itu, Thineswary yang merupakan pelajar program asasi sastera tahun pertama didakwa bersubahat melakukan pembunuhan terhadap mangsa kira-kira jam 12.30 tengah hari hari yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun sama, yang membawa hukuman sama iaitu gantung sampai mati atau penjara serta sebatan jika sabit kesalahan.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam M. Manoharan dan Mohamed Baharudeen Mohamed Alif.

Peguam tertuduh memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi memandangkan Mahkamah Majistret tidak mempunyai bidang kuasa mendengar kes serius seperti ini.

Namun, pihak pendakwaan memohon agar pemindahan dilakukan selepas semua dokumen penting seperti laporan forensik, bedah siasat dan kimia diperoleh.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 September ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Pada 24 Jun lalu, Maniishapriet yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi dari Sarawak ditemui tidak bernyawa di kondominium miliknya kira-kira jam 10 pagi oleh seorang rakan.

Polis bertindak pantas dengan menahan beberapa suspek dalam serbuan di Johor dan Melaka hanya dalam tempoh 48 jam selepas kejadian.

Pada 3 Julai lalu, media melaporkan tiga individu termasuk kedua-dua tertuduh disambung reman bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles