KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR 2025 adalah satu proses pertandingan dalam parti dan tiada kaitan dengan soal rombakan Jemaah Menteri, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata, pertandingan jawatan dalam parti itu sepatutnya menjadi satu proses yang mampu memperkukuh dan merangkul semua kekuatan untuk mengukuhkan parti.
“Pemilihan PKR adalah pertandingan antara sahabat-sahabat, rakan karib dan kenalan kita sendiri. Maka tidak timbul sama sekali soal berlaku perubahan kepada Jemaah Menteri.
“Kita tidak boleh menghalang cita-cita orang lain (untuk melepaskan jawatan atau mengisi kekosongan jawatan), dia ingat kosong (kekosongan jawatan) dia mahu isi..itu biasa.
“Jika tanya saya, saya tidak ada sebarang rencana untuk lakukan apa-apa perubahan pada Kabinet,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, semalam.
Beliau menjawab soalan berhubung hasrat penyandang Timbalan Presiden PKR dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, yang bersedia melepaskan jawatannya dalam Kabinet jika kalah dalam pemilihan PKR yang diadakan bulan ini.
Pemilihan PKR 2025 akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden antara Rafizi dan Nurul Izzah Anwar.
Kongres Nasional PKR 2025 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, bermula Jumaat dengan pengundian Majlis Pimpinan Pusat (MPP), sayap pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan sayap Wanita bagi sesi 2025-2028 diadakan pada hari yang sama bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
Mengulas lanjut, Anwar berkata ‘bahang’ pertandingan dalaman parti perlu dilihat secara positif dan tidak menggambarkan sebarang unsur ketidakstabilan politik dalam negara.
“Apa yang berlaku persaingan jawatan itu politik stabil, ada persaingan… ketidakstabilan jadi diktator tanpa pertandingan… kita kena lihat secara positif,” katanya. – BERNAMA