KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan melanggar sepasang suami isteri di Plaza Tol Jalan Duta, dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi menghadapi pendakwaan.
Tertuduh yang memakai hoodie, berseluar pendek dan pelitup muka tiba dengan tangan bergari dan dikawal ketat oleh polis sekitar jam 8.50 pagi, disambut liputan media dan kehadiran beberapa individu yang dipercayai ahli keluarga atau kenalannya.
Kejadian yang berlaku baru-baru ini menarik perhatian ramai setelah rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi satu minit tular di media sosial.
Video berkenaan memaparkan pikap berkenaan melarikan diri selepas melanggar motosikal yang dinaiki mangsa.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Mohd Zamri Mohd Rowi, dalam kenyataan semalam mengesahkan bahawa suspek bukan pemilik asal kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Menurut siasatan awal, suspek dipercayai cuba memotong sebuah motosikal lain namun gagal mengelak pasangan terbabit sebelum merempuh bahagian kanan motosikal mereka.
“Laporan polis pertama diterima jam 6.55 petang hari kejadian, dibuat sendiri oleh pemandu pikap. Suspek ditahan sejak Sabtu lalu dan kini direman dua hari di Lokap Dang Wangi bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Kemalangan itu menyebabkan wanita, yang membonceng motosikal, mengalami pendarahan otak, patah buku lali dan tulang rusuk, manakala suaminya mengalami retak tulang selangka dan luka di buku lali.
Kedua-duanya kini dirawat dalam di Hospital Sungai Buloh.
Difahamkan, prosiding pendakwaan terhadap suspek dijangka bermula sekitar jam 11.30 pagi ini.