Pemandu Bot Tragedi Perhentian Mengaku Bersalah Ambil Dadah, Positif Nimetazepam

BESUT: Pemandu bot yang terlibat dalam tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian minggu lalu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut, semalam, atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Tertuduh, Azrie Yazid, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri.

Mengikut pertuduhan, Azrie didakwa memasukkan dadah jenis Nimetazepam ke dalam badannya ketika ujian saringan dijalankan di Pejabat Narkotik IPD Besut pada 10.05 pagi, 29 Jun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyim Irfan Baharuddin mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Norhuda Mohamed Khan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan Azrie diikat jamin RM2,500 sementara menunggu laporan patologi, dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 4 September depan.

Sabtu lalu, negara dikejutkan dengan insiden bot yang dipandu tertuduh, membawa 15 penumpang berusia tiga hingga 40 tahun, terbalik akibat ombak besar kira-kira 10.30 malam ketika dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar.

Tragedi itu mengorbankan tiga sekeluarga iaitu S Arumugam, 40, anak perempuannya A Sarrvihka, 3, serta saudara mereka V Vennpani, 10.

Hasil ujian air kencing mendapati pemandu bot itu positif dadah, selain mempunyai lima rekod jenayah lampau.

BBerkaitan

Latest articles