Pelantikan Ketua Hakim Negara Ikut Prosedur Perlembagaan, Bukan Campur Tangan Politik

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim tertinggi lain dibuat mengikut proses semak dan imbang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan bukan hasil campur tangan politik seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Anwar berkata, beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum ini kerana menghormati proses pelantikan rasmi yang melibatkan beberapa peringkat kelulusan.

“Saya tak boleh jawab lebih awal sebab pelantikan ini perlu melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), kemudian saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), dan akhirnya dibincang dalam Majlis Raja-Raja. Selepas diperkenan barulah saya boleh umum,” jelas beliau ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani di UiTM Permatang Pauh hari ini.

Anwar turut membidas pihak pembangkang yang menurutnya terburu-buru membuat tuduhan terhadap kerajaan kononnya mencampuri urusan kehakiman, walaupun akhirnya mereka menerima pelantikan yang diumumkan tanpa bantahan.

“Seminggu mereka hentam saya, kata saya rosakkan sistem kehakiman. Tapi hakim mana yang saya buang? Ada yang dipecat? Tidak ada. Tapi bila kita umum (pelantikan), mereka terima juga, minta maaf pun tidak,” sindir beliau.

Pelantikan rasmi Ketua Hakim Negara baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, diumumkan semalam selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja seperti diperuntukkan di bawah Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan.

Turut dilantik adalah Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang yang akan bersara.

Majlis angkat sumpah pelantikan rasmi dijadual berlangsung pada 28 Julai ini di Istana Negara.

BBerkaitan

Latest articles