Pelantikan Anwar Sebagai PM Dicabar, Didakwa Tidak Sah, Bercanggah Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P. Waytha Moorthy hari ini memfailkan saman untuk membatalkan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Waytha, yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia, mendakwa pelantikan Anwar pada 24 November 2022 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah kerana beliau masih hilang kelayakan bertanding ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Sivil hari ini melalui Tetuan Karthig Shan, dengan Anwar dinamakan sebagai defendan tunggal.

Waytha turut menuntut pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dibatalkan.

Dalam afidavitnya, bekas menteri itu mendakwa sabitan jenayah lampau Anwar yang melibatkan hukuman penjara melebihi setahun menyebabkan beliau hilang kelayakan di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun menerima pengampunan penuh pada 16 Mei 2018, Waytha menegaskan Perkara 48(3) menetapkan kehilangan kelayakan selama lima tahun hanya boleh dibatalkan secara nyata oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Tiada pembatalan jelas dibuat oleh Seri Paduka, menyebabkan kelayakan Anwar hanya pulih pada 15 Mei 2023. Ketika PRU15 pada 19 November 2022, larangan itu masih berkuat kuasa,” katanya.

Jika mahkamah memihak kepada Waytha, keputusan itu berpotensi membuka jalan kepada pembatalan keputusan PRU15 di kerusi Tambun, sekali gus memberi kesan langsung kepada jawatan Perdana Menteri yang dipegang Anwar ketika ini.

Tarikh pendengaran kes dijangka ditetapkan dalam masa terdekat.

BBerkaitan

Latest articles