GEORGE TOWN: Seorang pekerja subkontraktor berusia 41 tahun maut dalam insiden ngeri apabila terjatuh dari tingkat 8 bangunan sebuah tapak pembinaan pangsapuri di sini semalam.
Kejadian tragis kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja ukur menegak di kawasan lif lobi bangunan berkenaan.
Mangsa dikatakan tergelincir dan jatuh melalui lubang “pressurization shaft” pada ketinggian hampir 27 meter, sebelum tercampak ke aras bawah bangunan.
Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, kawasan lubang tempat mangsa terjatuh hanya dilindungi papan lapis dan pagar sementara, yang didapati tidak cukup kukuh untuk menampung berat atau mencegah kejadian jatuh.
“Perlindungan sedia ada tidak memadai. Tindakan serta-merta diambil termasuk mengeluarkan tiga notis larangan kepada kontraktor utama bagi menghentikan semua kerja berkaitan,” jelas JKKP.
JKKP turut mengarahkan kontraktor utama melakukan siasatan dalaman dan membentangkan pelan penambahbaikan kepada pihak berkuasa.
Dalam masa sama, pegawai penyiasat JKKP telah ke lokasi untuk menyiasat, mengambil dokumen serta merakam percakapan saksi yang dikenal pasti.
Sekiranya didapati cuai atau melanggar piawaian keselamatan, kontraktor boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022).
“Majikan bertanggungjawab penuh terhadap keselamatan di tempat kerja termasuk menyediakan pelan kerja yang selamat, langkah kawalan risiko serta pemantauan bahaya,” tegas JKKP.