Pasangan Doktor Ditahan Berkhalwat, Enggan Buka Pintu Selama 20 Minit

MELAKA: Sepasang kekasih yang juga merupakan doktor bertugas di Hospital Melaka mencetuskan kekecohan apabila enggan membuka pintu rumah selama hampir 20 minit ketika diserbu penguat kuasa kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Taman Semabok Perdana, petang tadi.

Serbuan yang berlangsung jam 3.25 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan mencurigakan di rumah berkenaan.

Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman, pasangan berusia 26 tahun itu disahkan bertugas sebagai doktor perubatan di Hospital Melaka.

“Ketika ditahan, kedua-duanya berpakaian lengkap. Mereka kemudiannya dibawa ke pejabat JAIM untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan,” katanya ketika dihubungi media.

Insiden itu turut menjadi perhatian apabila imam masjid, polis, wakil media dan penduduk setempat dilaporkan berkumpul di hadapan rumah selama hampir 20 minit kerana pasangan terbabit enggan memberikan kerjasama dan bersembunyi di dalam rumah teres setingkat berkenaan.

Namun, apabila JAIM tiba, pasangan itu akhirnya membuka pintu rumah pada 3.43 petang.

Menurut sumber, doktor lelaki berkenaan turut cuba mempertikai tindakan penguat kuasa memeriksa kediaman yang didakwanya disewa bersama dua rakan lain yang tiada di rumah ketika kejadian.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

BBerkaitan

Latest articles