Nurul Izzah Ungguli Undi Timbalan Presiden, Tewaskan Rafizi

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar mencatat kemenangan bergaya dalam pemilihan PLR 2025 apabila berjaya menewaskan penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam saingan satu lawan satu yang paling dinanti dalam sejarah parti itu.

Anak kepada Presiden PKR dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memperoleh 9,803 undi, sekali gus disahkan sebagai Timbalan Presiden PKR yang baharu.

Kemenangan ini disifatkan sebagai satu titik perubahan penting dalam hala tuju parti, yang kini dilihat sedang bersedia untuk menghadapi cabaran politik masa depan dengan semangat dan pendekatan baharu.

“Saya bersyukur atas mandat yang diberikan. Tugas utama saya sekarang adalah memperkukuh parti dari dalam, memastikan agenda reformasi tidak terhenti dan terus berkembang,” katanya dalam kenyataan ringkas selepas keputusan diumumkan.

Nurul Izzah sebelum ini dilihat sebagai calon pilihan selepas menerima sokongan terbuka daripada lebih 200 daripada 222 bahagian PKR di seluruh negara, satu isyarat jelas gelombang akar umbi mahukan perubahan dalam kepimpinan tertinggi parti.

Saingan beliau, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi sebelum ini menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya tewas dalam pemilihan ini.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada beliau berhubung keputusan tersebut.

Seramai 32,030 perwakilan PKR layak mengundi dalam pemilihan kali ini yang turut mencerminkan komitmen parti kepada amalan demokrasi dalaman.

Dalam siri kempen sebelum ini, Nurul Izzah menegaskan komitmennya untuk membawa pendekatan reformasi dalaman yang lebih meluas, sambil menekankan keperluan menjadikan PKR sebagai parti yang benar-benar bersih, berprinsip dan progresif.

“Reformasi tidak boleh hanya menjadi slogan. Ia perlu diterjemahkan dalam struktur, dasar dan kepimpinan parti. Saya akan bekerja keras untuk memastikan kita kekal relevan dan diyakini rakyat,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles