Norjuma Didenda RM4,800 Kerana Rosakkan Palang, CCTV Kondominium

KUALA LUMPUR: Bekas personaliti televisyen dan usahawan terkenal, Norjuma Habib Mohamed, 45, dikenakan denda RM4,800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah merosakkan palang dan kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kondominium, dalam kejadian dua tahun lalu.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu selepas Norjuma membuat pengakuan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan penjara lima bulan sekiranya denda gagal dibayar, namun Norjuma menjelaskan denda tersebut di mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Norjuma didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar dan masuk kenderaan, dan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kondominium di ibu negara pada 28 Julai 2023, sekitar jam 7.44 dan 7.45 malam.

Kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM4,700.

Kesalahan itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam bela, Faiz Kamal Jaafar, merayu agar Norjuma hanya dikenakan hukuman denda, memandangkan beliau kini tidak mempunyai pekerjaan, sedang menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan, dan ditanggung oleh bapanya yang merupakan pesara kerajaan.

“Anak guam saya benar-benar kesal dengan perbuatannya dan ini adalah satu pengajaran besar buatnya,” katanya kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Radhawa memohon hukuman setimpal memandangkan kerugian yang dialami pihak pengurusan kondominium.

Ini bukan kali pertama Norjuma berdepan tindakan undang-undang.

Pada Mei lalu, beliau turut dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan mencederakan seorang wanita dalam satu insiden yang berlaku empat tahun lalu.

BBerkaitan

Latest articles