KUALA LUMPUR: Meskipun sedang bercuti sebelum meletak jawatan secara rasmi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini tetap menghadiri majlis rasmi yang dijanjikan lebih awal.
Beliau hadir merasmikan cawangan ke-43 Naskeen Coffee, sebuah jenama tempatan yang menurutnya dekat di hati kerana berasal dari negeri kelahirannya, Kelantan.
“Saya ingin jelaskan, mereka dah tempah saya sebelum saya bercuti. Jadi saya kena tunaikan janji,” jelasnya ketika ditemui media.
Nik Nazmi memulakan cuti pada 29 Mei dan bakal menamatkan perkhidmatan dalam Kabinet pada 4 Julai 2025, selepas mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri.
Peletakan jawatan itu dibuat berikutan kekalahan beliau dalam pemilihan jawatan Naib Presiden PKR, yang menurutnya menjadi antara asas pelantikannya ke dalam Jemaah Menteri.
“Saya belum ada perancangan lagi. Mungkin berehat dulu. Kalau ada peluang francais kopi, boleh pertimbangkan. Kalau ada jemputan podcast, mungkin saya akan sertai,” katanya sambil berseloroh.
Nik Nazmi menyertai Kabinet pada Disember 2022 dan memegang portfolio berkaitan alam sekitar serta sumber asli sehingga kini.