Negara Perlu Selamat Dari Rasuah, Utamakan Kemanusiaan Dalam Pembangunan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia perlu diselamatkan daripada ancaman rasuah dan penyelewengan, yang menurutnya telah lama menghakis kepercayaan rakyat serta merencatkan kemajuan negara.

Berucap pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat 2025 (Johor) di pusat beli-belah Toppen, Johor Bahru hari ini, beliau menyeru agar tindakan tegas dan tidak berkompromi diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dengan rasuah.

“Kalau kita izinkan rasuah berleluasa, penguat kuasa takut ambil tindakan, dan bila ambil tindakan pula dikatakan berdendam, maka orang yang curi puluh-puluh bilion boleh hidup selesa. Negara ini perlu diselamatkan,” katanya.

Anwar berkata, adalah tidak salah untuk menjadi pemimpin, namun seseorang pemimpin itu tidak wajar menjadikan jawatan sebagai jalan untuk mengaut kekayaan untuk diri sendiri dan keluarga.

“Mahukan kepimpinan itu satu amanah. Kita mesti betulkan asas ini,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengajak rakyat untuk memahami erti sebenar pembangunan bukan sekadar menilai kejayaan dari segi infrastruktur dan pencakar langit, tetapi dari sudut pembinaan insan dan nilai kemanusiaan.

“Apa maknanya kita bina bangunan tinggi, kalau ia dipenuhi manusia yang ganas, rakus dan angkuh? Apa makna negara maju jika rakyatnya hidup dalam kebencian?” soal beliau.

Beliau menekankan bahawa pembangunan sebenar harus berteraskan pembinaan sahsiah, ilmu dan akhlak yang tinggi.

“Tujuan pembangunan adalah untuk membentuk masyarakat yang berilmu, beradab dan berakhlak. Bukan hanya fizikal, tetapi jiwa dan pemikiran,” tambahnya.

Anwar turut menggesa anak-anak muda memainkan peranan lebih aktif dalam memerangi rasuah dan menolak budaya penindasan serta kezaliman.

Beliau menyifatkan generasi muda sebagai agen perubahan yang mampu membawa pendekatan segar kepada erti kemajuan negara.

“Saya mahu anak muda beri contoh yang baik, tunjukkan kejayaan bukan hanya dinilai pada bangunan tinggi, tetapi pada nilai kemanusiaan,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Anwar menegaskan bahawa matlamat utama pembangunan negara adalah untuk melahirkan masyarakat penyayang, saling menghormati dan berpegang kepada nilai bersama selari dengan aspirasi Malaysia sebagai negara majmuk yang harmoni.

BBerkaitan

Latest articles