Syarikat pengeluar vape tempatan, Nanostix Innovations Sdn Bhd menggesa agar langkah pengharaman penuh ke atas penjualan vape oleh beberapa kerajaan negeri disemak semula, sambil menekankan bahawa penyelesaian sebenar terletak pada penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas, bukan penghapusan industri.
Dalam satu kenyataan media, Nanostix melahirkan kebimbangan terhadap tindakan unilateral sesetengah kerajaan negeri yang didakwa bertentangan dengan kerangka perundangan yang telah digubal oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam (Akta 852).
“Tindakan ini bukan sahaja mencetus kekeliruan dalam kalangan pemain industri, malah pengguna turut terkesan. Ia menimbulkan persoalan sama ada kebijaksanaan undang-undang yang digubal di peringkat Persekutuan sedang dinafikan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Nanostix, Shahabudeen Jalil.
Sebagai sebuah jenama tempatan yang beroperasi sejak 2018, Nanostix menegaskan pihaknya sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Kenyataan ini timbul selepas Kerajaan Negeri Kedah Semalam yang mengumumkan bahawa Mereka tidak akan menyambung pembaharuan lesen penjualan rokok elektronik atau vape di negeri itu, yang dikhuatiri turut menjadi satu daripada alat untuk penyalahgunaan dadah.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata dalam mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat negeri semalam, perbincangan turut menyentuh berkaitan penggunaan vape sebagai medium penyalahgunaan dadah sintetik.
Dalam pada itu, Menurut Nanosti lagi, pendekatan larangan menyeluruh tidak menyelesaikan masalah sebenar, sebaliknya mendorong kepada kewujudan pasaran gelap yang tidak terkawal.
“Masalah utama ialah produk haram seperti ‘Vape Magic Mushroom’ yang kini dijual secara terbuka di media sosial. Ia tidak dijual oleh pengeluar sah, tetapi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyeludup masuk produk berbahaya,” katanya.
Nanostix turut memberi amaran bahawa tindakan sedemikian akan menjejaskan ribuan pekerjaan dan mengurangkan sumbangan industri kepada ekonomi negara.
Sebaliknya, syarikat itu menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa:
• Memperkukuh penguatkuasaan terhadap penyeludupan dadah dan bahan terlarang.
• Memastikan kawalan bahan mentah untuk produk tempatan bagi menjamin keselamatan pengguna.
• Mengadakan libat urus bersama industri sebelum membuat sebarang dasar.
• Meningkatkan kesedaran pengguna mengenai produk yang sah dan yang diseludup.
“Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Kita perlu cari punca sebenar — iaitu kelemahan penguatkuasaan — dan selesaikannya dengan bijak,” kata Shahabudeen lagi.
Beliau menegaskan bahawa Nanostix kekal komited untuk membina industri yang selamat, sah dan bertanggungjawab, serta terbuka untuk berdialog dengan mana-mana kerajaan negeri termasuk Kedah bagi mencari jalan penyelesaian bersama.