KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetap perlu menjalani hukuman penjara meskipun Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan beliau tanpa membebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan penggubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan, keputusan DNAA itu tidak membebaskan Najib sepenuhnya kerana beliau masih menjalani hukuman penjara atas sabitan tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana sama yang diputuskan hampir empat tahun lalu.
“Dalam kes ini dia dilepas, tapi sebab dia masih ada hukuman penjara lain, dia tidak bebas sepenuhnya. Jadi, beliau akan kembali ke Penjara Kajang,” katanya kepada media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy memutuskan Najib dilepas tanpa dibebaskan selepas mendapati pihak pendakwaan masih belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan meskipun kes telah tergantung sejak tahun 2019.
Hakim berkata, tiada sebarang keterangan saksi dikemukakan sejak pendakwaan dikemukakan enam tahun lalu, menjadikan kes itu tidak bergerak ke hadapan dan wajar diberi DNAA.
Shafee turut memaklumkan bahawa anak guamnya amat gembira dengan keputusan mahkamah yang menurutnya sudah lama ditunggu-tunggu.
“Datuk Seri Najib sangat lega dan gembira. Kes ini telah beberapa kali tergantung dan beliau sendiri pernah memohon DNAA sebelum ini. Sekarang beliau boleh fokus sepenuhnya kepada pembelaan dalam kes 1MDB,” katanya.
Najib ketika ini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.