Najib – DNAA: Sudah Tiba Masanya Peguam Negara Bertindak Laksana Reformasi

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan pelepasan tanpa bebas (DNAA) kepada Datuk Seri Najib Razak dalam kes pengubahan wang haram SRC International bernilai RM27 juta mencetuskan persoalan besar mengenai integriti dan kebertanggungjawaban Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pandangan ini disuarakan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Dzulkifli Ahmad, yang menyifatkan kegagalan pihak pendakwaan untuk bersedia selepas lebih lima tahun sebagai satu “kecuaian urus tadbir pendakwaan” yang tidak boleh dibiarkan berterusan.

“Mengapa dakwa jika kes belum bersedia? Undang-undang menuntut bukti yang cukup dan boleh diterima, bukan pendakwaan untuk publisiti,” tegas Dzulkifli.

Menurut Dzulkifli, situasi pendakwaan Najib itu membangkitkan tiga isu utama, iaitu kelewatan berpanjangan, memandangkan kes yang didakwa sejak 2019 tidak menunjukkan kemajuan di bawah dua Peguam Negara terdahulu, iaitu Tan Sri Idrus Harun dan Tan Sri Ahmad Terriruddin tanpa semakan atau tindakan tegas.

Kedua, Dzulkifli menegaskan apa yang dialami Najib sepanjang tempoh pendakwaan ini melanggar hak asasi.

“Penangguhan yang tidak berpenghujung ini melanggar Perkara 5(1) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak untuk perbicaraan yang adil dan pantas, serta kesaksamaan di sisi undang-undang,” ujarnya.

Malah Dzulkifli turut mempersoal ketidaktentuan DNAA itu yang merujuk kepada bukan pembebasan dan bukan sabitan, iaitu hanya menggantung kes tanpa penamat.

Katanya keputusan itu mungkin mencetuskan kekeliruan awam dan meletakkan tertuduh dalam ‘limbo’ undang-undang.

Sehubungan itu Dzulkifli menggesa Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar selaku Peguam Negara kini untuk memulihkan integriti institusi dan memastikan pendakwaa hanya dibuat apabila bukti mencukupi dan kes benar-benar bersedia untuk dibicarakan.

Begitu juga dengan sistem semakan dalaman ditubuhkan bagi kes tertangguh atau berprofil tinggi dan memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya secara institusi untuk elak konflik kepentingan.

“Keadilan tidak boleh didakwa hari ini, ditangguh bertahun, kemudian dijustifikasi kemudian,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles