GERIK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam, mempunyai 18 rekod saman lalu lintas, termasuk 13 kesalahan memandu laju.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata semakan lanjut turut mendapati bas yang dipandu suspek juga mempunyai 21 rekod saman trafik, membabitkan pelbagai kesalahan.
“Daripada jumlah itu, 13 saman pemandu adalah kerana memandu melebihi had laju, tiga kerana tidak memakai tali pinggang keledar, satu tiada lampu brek ketiga dan satu lagi melibatkan kes kemalangan.
“Bagi kenderaan bas pula, 16 daripada 21 saman telah dijatuhkan hukuman, manakala lima lagi masih dalam proses siasatan,” katanya kepada media.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak polis akan menubuhkan pasukan petugas khas dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Pasukan khas ini akan menyiasat nahas dari setiap sudut termasuk latar belakang pemandu, sejarah kerjayanya, rekod syarikat pengendali bas, dan aspek teknikal kenderaan.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin untuk tindakan pendakwaan di mahkamah,” ujar Mohd Yusri.
Dalam insiden tragik itu, sebuah bas ekspres yang membawa pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu ke kampus di Tanjung Malim dipercayai melanggar belakang Perodua Alza sebelum hilang kawalan, terbabas dan terbalik di Jalan Raya Timur-Barat dekat Tasik Banding, sekitar jam 1 pagi.
Nahas itu meragut 15 nyawa pelajar, manakala puluhan yang lain cedera dan kini dirawat di hospital sekitar Perak dan Kelantan.
Sementara itu, pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, yang turut cedera dalam insiden itu, menafikan dia memandu laju dan mendakwa sistem brek bas gagal berfungsi, menyebabkan dia hilang kawalan di selekoh menurun.
“Saya cuba elak dari langgar kenderaan lain sejauh hampir 1 kilometer. Saya dah jerit minta pelajar bersedia… tapi tak sempat,” katanya dari katil hospital semalam.
Beliau kini dirawat di Hospital Taiping akibat patah tangan kiri dan akan disiasat lanjut oleh pihak berkuasa.